Kita ketahui dan mengakui Allah, Tuhan Maha Berkuasa, Tuhan Maha Mengatahui. Kita ketahui juga bahawa Allah menjadikan manusia untuk menyembah Allah dan bukan yang lain. Malahan kita mengetahui bahawa Allah telah menjadikan manusia ini secantik-cantik kejadian.
Allah yang Maha Mengetahui telah mencipta manusia bermula dengan Adam dari tanah, tanpa pasangan. Manusia kedua, Hawa pasangan Adam, telah dijadikan Allah yang Maha Mengetahui pertama, melalui permintaan Adam dan kedua, dari bahagian Adam. Populasi manusia terus berkembang sehingga sekarang. Walaupun manusia yang hidup akan mati tetapi jumlah populasi manusia terus bertambah. Dalam sejarah terdapat banyak ketika di mana berlaku kehilangan nyawa manusia dalam jumlah besar kerana serangan wabak penyakit, peperangan, malapetaka dunia, kebuluran, pembunuhan beramai-ramai dan sebagainya. Hakikatnya populasi manusia tetap terus menerus bertambah.
Kita renungkan pula kejadian janin di dalam rahim ibu. Dalam berjuta-juta sperma dari bapa, yang perlu ialah satu sahaja untuk berjaya bercantum dengan telur dari ibu dan membentuk satu sel baru. Dari satu sel ini, ia akan berpecah menjadi dua. Dari dua berpecah lagi menjadi empat, lapan, enambelas dan seterusnya. Kemudian mula pula pembentukan organ-organ dan anggota-anggota tertentu. Tiba ketika kelahiran bayi dari rahim ibu dan sel-sel terus berkembang dalam pembesaran bayi menjadi manusia dewasa. Dalam manusia dewasa sendiri masih lagi berlaku pembentukan sel-sel baru menggantikan sel-sel yang mati. Yang mudah kita lihat dengan mata kasar ialah rambut yang digunting panjang semula dan kuku yang dipotong tumbuh semula.
Begitu juga dengan perkembangan ilmu. Ilmu Islam diturunkan Allah yang Maha Mengetahui melalui seorang manusia, Rasullullah dengan wahyu pertama. Wahyu pertama ini disampaikan kepada manusia kedua dan terus berkembang. Kemudian turun pula wahyu kedua dan disebarkan lagi. Begitulah seterusnya hingga ke wahyu yang terakhir. Ada manusia yang terus menerima, ada yang terus menolak dan ada juga yang pada mulanya menolak tetapi kemudian menerima. Begitulah perkembangan ilmu Islam. Begitu juga dengan ilmu-ilmu lain seperti matematik atau apa saja. Bermula dengan seorang manusia yang diilhamkan dengan ilmu itu dan kemudiannya dikongsikan dengan manusia-manusia lain sehingga keseluruh dunia.
Dalam dunia berteknologi moden ini kita lihat pula pembabitan kita dalam penggunaan facebook sebagai contoh. Bermula dengan pendaftaran kita seorang dan kita memulakan jaringan kita untuk terus berkembang. Begitu juga dengan penyebaran surat berrangkai samada surat fizikal seperti dulu atau melalui email sekarang ini, ia juga bermula dengan satu orang yang memulakan surat itu dan tersebar rantai atau jaringan atau network.
Bermula dengan satu. Sesungguhnya dan sememangnya Allah itu Maha Mengetahui.
No comments:
Post a Comment